« »

Wednesday, April 1, 2009

April Fools': Marilah Jadi Bijak

Terdapat seorang sahabat yang meminta saya menulis suatu peringatan mengenai satu sambutan yang saya percaya masih diperingati setiap kali tiba 1 haribulan April iaitu April Fools’. Satu lagi tarikh dengan sambutan yang pelik.

Saya kagum dengan kesedaran yang dimiliki sahabat tersebut dan keinginannya melihat umat Islam bebas dari berkompromi dengan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Mungkin bagi mereka yang mempunyai kesedaran Islam tidak melihat mengapa pentingnya perlu dibangkitkan hal ini kerana kita melihat diri kita tidakpun menyambutnya.

Tetapi diluar sana masih terdapat ramai yang terikut-ikut dengan budaya ini. Ada diantaranya bukanlah niat mereka untuk mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan nilai Islam, cumanya sudah terbiasa dengan persekitaran yang dicengkam ideologi menerima apa sahaja budaya luar tanpa menapis dahulu dengan melihat apakah pandangan Islam tentangnya. Ya, tidak semua dari luar itu jahat namun tidak semuanya baik juga. Maka timbanglah baik dan buruk itu dengan neraca wahyu.

April Fools’ secara amnya adalah hari dimana perbuatan memperolok-olok sesiapa sahaja menjadi teras sambutannya. Masih saya ingat sewaktu di sekolah dahulu, sepanjang hari terpaksa berhati-hati kerana pastinya ada sahaja penipuan akan dilakukan dan boleh jadi dari sesiapa sahaja.

Sekiranya terperangkap mempercayai penipuan tersebut maka ejekan April Fools’ akan diberi kepada mangsa. Dalam erti kata lain April Fools’ boleh disebut sebagai ‘hari menipu’. Mungkin ada yang berkata perbuatan memperolok-olok itu hanya sekadar gurauan. Tetapi apakah gurauan itu dibenarkan dalam Islam?

Terdapat pelbagai sejarah mengenai sambutan ‘hari penipuan’ atau April Fools’ ini. Yang menarik dewasa ini terdapat banyak sebaran mengatakan ianya adalah bersempena penghapusan dan penipuan keatas umat Islam di Spanyol suatu masa dahulu dan sebagainya.

Saya tidak berminat menggunakan cerita itu kerana kesahihannya masih diragui. Metode penulisan saya adalah saya akan cuba menjauhi seboleh-bolehnya perkara yang diragui. Adalah lebih baik kita menilai terus elemen sambutan itu sendiri apakah ianya dibenarkan atau tidak.

ISLAM MENOLAK BUDAYA MENIPU/BERDUSTA

Islam mendidik umatnya agar sentiasa mengamalkan perlakuan jujur dan menjauhi sikap suka menipu. Allah berfirman di dalam al-Quran:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَكُونُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar. [at-Taubah 9:119]

Berkata Ibn Katsir di dalam tafsirnya tentang ayat diatas:

أي اصدقوا والزموا الصدق تكونوا من أهله وتنجوا من المهالك, ويجعل لكم فرجاً من أموركم ومخرجاً

Ia bermaksud: sentiasalah berlaku jujur dan komitd pada kejujuran agar kamu berada dikalangan orang-orang (yang jujur) dan terselamat dari malapetaka . Dan ini akan mengeluarkan kamu daripada masalah. [Tafsir al-Quran al-Adzim, 2/424]

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

ومن غشنا فليس منا

Sesiapa yang menipu bukanlah ia dari kalangan kami. [ Sahih Muslim – no:101]

Dalam hadis lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إن الصدق يهدي إلى البر. وإن البر يهدي إلى الجنة. وإن الرجل ليصدق حتى يكتب صديقا. وإن الكذب يهدي إلى الفجور. وإن الفجور يهدي إلى النار. وإن الرجل ليكذب حتى يكتب كذابا

Sesungguhnya benar (jujur) itu memimpin kepada kebaikan, dan kebaikan itu memimpin ke syurga, dan seseorang berlaku benar sehingga tercatat di sisi Allah seorang siddiq (yang sangat jujur dan benar). Dan dusta memimpin kepada kecurangan, dan curang itu memimpin ke dalam neraka. Dan seseorang itu berdusta sehingga tercatat di sisi Allah sebagai pendusta. [Sahih al-Bukhari – no:5743]

Baigamana pula sekiranya ianya sekadar untuk bergurau, hanya bertujuan menggembirakan hati orang lain. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

ويل للذي يحدث فيكذب ليضحك به القوم ويل له ويل له

Celakalah orang yang berkata-kata, maka dia berbohong untuk membuat orang lain ketawa, celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia. [ Sunan Abu Daud – no: 4990. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’ as-Saghir – no: 7137]

Islam tidak menghalang untuk umatnya bergurau dan menggembirakan hati orang lain, namun perlu menjaga batas-batas tertentu. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah bergurau dan berjenaka tetapi tidaklah sehingga menipu semata-mata untuk bergembira.

Islam mengkehendaki umatnya sedaya upaya menjauhi sifat suka menipu dan berkata dusta. Maka tentu sekali mendedikasikan suatu hari semata-mata untuk meraikan amalan menipu atau membudayakan penipuan adalah sangat bertentangan dengan kehendak Islam.

Shaikh Saalih Fawzaan di dalam fatwanya tentang April Fools’ menyatakan:


Menipu adalah tidak dibenarkan sama sekali, tidak kira pada bila-bila masa. Dan tidak dibenarkan mencontohi kuffar dan menyerupai mereka pada hari tersebut (April Fools' -pen) atau pada mana-mana hari. Telah bersabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka" [Majalah al-Shaqaa’iq, no:32]

Di dunia ini, setiap manusia yang sihat akalnya pasti akan lebih menyukai kejujuran daripada perbuatan menipu. Islam merupakan agama yang meraikan fitrah yang baik. Jom kembali kepada Islam.

Wallahu'alam.

No comments: